Friday, January 15, 2010

PISANG SEJOLI

USUP dan Azli menjamu selera di sebuah restoran ....

Pelayan: Selamat petang encik, ini menunya. Encik boleh pesan minuman dulu sementara memilih makanan.

Usup: Haa, Li .... kau nak minum apa? Kau pesan aje, hari ni aku belanja.

Azli: Hai! Mimpi apa pulak ni, tiba-tiba nak belanja? Kalau kau nak belanja, mari menu tu, aku nak order yang sedap-sedap dan mahal-mahal.

Usup: Bonoslah! Aku kerja swasta, hujung tahun ni dapat le bonos sikit. Nah! Tengoklah dalam menu tu, macam-macam ada. Kita pesan minuman dulu, karang makanan pulak.

Azli: Aku tak mau minum, tapi aku nak aiskrim yang macam dalam gambar ni.

Usup: Ok, cik! Bagi saya apungan satu dan untuk kawan saya ni bagi pisang sejoli.

Pelayan: Maaf encik, di sini jual minuman dan makanan masak sahaja. Kami tidak jual pelampung dan pisang. Kalau encik hendak pisang, encik boleh beli kat kedai buah di seberang jalan sana.

Usup: Macam mana boleh tak ada? Yang saya pesan tu semua ada dalam menu.

Azli: Haa la, Usup! Kau order apa dengan cik adik ni? Aku dah tunjuk dah kat kau apa yang aku hendak. Kau order yang bukan-bukan pulak. Kau betul ikhlas ke, nak belanja ni?

Usup: Ikhlaslah! Aku pesan ikut apa yang ada dalam menu, untuk kau aku pesan apa yang kau tunjuk tadi.

Azli: Aku tak mau pelampung, aku nak aiskrim!

Usup: Bukan pelampunglah, apungan! Aku yang nak apungan, kau pulak pesan pisang sejoli, itulah aiskrim yang kau tunjuk tadi.

Pelayan: Maaf encik, apungan dan pisang sejoli tak ada dalam menu ni.

Usup: Siapa kata tak ada?! Ni ha, siap dengan gambar lagi.

Pelayan: Ini float dan banana split, encik.

Usup: Ha tau pun! Itulah yang saya nak pesan, dalam menu tu cakap orang putih, cakap Melayunya apungan dan pisang sejoli. Bagi kami yang itu dulu, karang saya pesan makanan pulak.

Azli: Ha! Ha! Ha! Kelakarlah kau ni Usup, kesian aku tengok pelayan comel tu tadi, terkebil-kebil dia bila kau guna istilah yang tak pernah orang pakai. Kau ni pandai-pandai aje bagi nama macam tu, aku pun tak pernah dengar! Kau tengok kat dapur tu, pekerja kat belakang tu pakat ketawa ramai-ramai sambil jeling kat kau. Siap tekan perut lagi. Mana kau dapat nama-nama pelik ni? Aku rasa dalam Kamus Dewan pun tak ada.

Usup: Itulah kau! Tak mau guna bahasa sendiri, semua orang kat Malaysia ni ada sikap macam kau ni, tak sayang bahasa kebangsaan sendiri! Gunalah perkataan dalam bahasa Melayu, tak perlulah guna bahasa Inggeris bila cakap dalam bahasa Melayu. Banggalah dengan bahasa kebangsaan kita! Kalau kita bercakap dalam bahasa Inggeris, kita gunalah perkataan dan istilah dalam bahasa Inggeris. Bila kita bercakap dalam bahasa Melayu, kita gunakanlah perkataan dan istilah dalam bahasa Melayu. Jangan dirojakkan!

Azli: Betul ke istilah yang kaugunakan tu? Mana kau dapat? Entah-entah kaupakai hentam aje kut?!

Usup: Li! Bahasa ni dinamis tau, sentiasa berkembang dan berubah. Bila ada benda baru dan konsep baru, kena adalah perkataan untuk konsep tu. Bila perkataan baru diperkenalkan, mula-mula memanglah rasa janggal dan lucu, tapi bila kita dah guna hari-hari, kita biasalah dengan perkataan tu. Perkataan yang aku guna tadi aku dapat dari Witra, blog Azhar Salleh. Kita kena gunalah, bila semua orang guna, nanti bila Dewan mengemas kini kamus, perkataan ini boleh dimasukkan.

Azli: Rasa macam dengar ceramah motivasi pulak dah. Tu ... pesanan kita dah nak sampai!

No comments:

Post a Comment