Sunday, January 24, 2010

KENDURI KOSONG TANPA HIDANGAN

GEOEGETOWN: "Saya dan keluarga malu serta tidak sangka mereka sanggup buat begini sehingga tergamak mengaibkan kami," kata Syed Mohd Hisham Syed Gereld Jalil, wakil keluarga pengantin perempuan selepas kegagalan pihak katering menyediakan juadah makan malam untuk 500 tetamu di Kompleks Masyarakat Penyayang di Jalan Utama di sini, kelmarin.


Lebih memalukan, tempahan dan bayaran sudah dibuat, malah rekod tempahan turut dipaparkan di papan kenyataan sebaliknya wakil pengurusan katering dipercayai ke Kuala Lumpur, kononnya ada urusan penting dengan membiarkan tetamu yang hadir kelaparan.

Syed Mohd Hisham, 39, dari Jalan Kelawei di sini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika majlis makan malam sempena persandingan adik bongsunya, Sharifah Norliza, 20-an dengan Shaiful Nizam Mohamed, 27, yang sudah diijabkabulkan 18 Disember lalu.


Menurutnya, keluarganya membuat tempahan makan malam untuk 500 tetamu dengan bayaran RM5,500 sejak sebulan lalu, dan Rabu lalu, membuat bayaran tunai kepada pengurusan kompleks itu.

Katanya, keluarganya tidak mengesyaki perkara seperti itu akan berlaku kerana syarikat berkenaan sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu di bawah kendalian dan kelolaan agensi kerajaan negeri.

"Pada jam 7 malam kelmarin, seorang saudara tiba awal di kompleks berkenaan dan menghubungi saya menyatakan tiada sebarang persediaan makanan dilakukan untuk majlis persandingan malam itu.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka mungkin mereka terlewat. Namun, sehingga jam 8 malam, mereka tidak muncul malah tetamu semakin ramai sehingga menyebabkan mereka termasuk keluarga pengantin lelaki kelaparan," katanya.

Syed Mohd Hisham berkata, dia terkejut dengan kejadian itu dan usaha menemui pengurus syarikat katering berkenaan gagal apabila dimaklumkan berada di Kuala Lumpur, malah berjanji membayar ganti rugi menerusi panggilan telefon.

Menurutnya, kejadian berkenaan mengaibkan keluarganya terutama Sharifah Norliza yang menitiskan air mata apabila tetamu yang hadir pada majlis bersejarahnya terpaksa berlapar.

"Malah, ahli keluarga marah dan malu dengan apa yang berlaku. Saya tidak tahu apa tujuan mereka buat begini dan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang selepas mengalami kerugian hampir RM20,000 untuk penyediaan majlis makan malam itu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka bernasib baik kerana ada seorang membantu mendapatkan makanan dari sebuah restoran nasi kandar untuk menyediakan hidangan kepada tetamu pada saat akhir.

"Kami akan menuntut hak dan akan membuat aduan termasuk kepada polis selain menuntut di Tribunal Tuntutan Pengguna," katanya.

Sementara itu, pengantin lelaki, Shaiful Nizam berkata, dia turut malu dengan kejadian itu malah, menyelar sikap tidak profesional syarikat katering berkenaan.

"Saya kecewa dan malu dengan apa yang berlaku. Mereka hendak duit segera, tetapi tidak buat kerja sepatutnya sehingga menyusahkan keluarga mentua dan kami tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

HARIAN METRO AHAD 240110


Mcm mana pihak katering boleh mcm ni kan. Kita dah order dan buat bayaran .Malulah tuan rumah mcm ni.Lepas ni jgn ambik katering ni lagi.Gamkan terus.

No comments:

Post a Comment