Sunday, January 24, 2010

KATE & DIANA



KATE Middleton kini berusia 28 tahun. Beliau meraikannya 9 Januari lalu hanya dengan rakan rapat, termasuk kekasihnya sejak lapan tahun lalu, Putera William.


Namun, di hatinya pasti tertanya-tanya apakah tahun ini bakal menjadi tahun paling gembira buat dirinya apabila William melamarnya.


Pada masa ini harapannya cerah kerana William pernah menyatakan tidak akan memikirkannya sehingga mencecah usia 28 hingga 30 tahun. Jun ini, William akan meraikan hari jadinya yang ke-28.


Syarikat judi, Ladbrokes percaya William akan melamar Kate tahun ini hingga menyebabkan jumlah bayaran diturunkan kepada hanya 5/1.


Yang pasti, Kate yang mula dikenali William ketika menuntut di Universiti St Andrews pada 2002 kini sudah berubah menjadi wanita matang yang jelita, serta layak untuk bergelar isteri seorang raja England.

Kebijaksanaan Kate memilih pakaian sesuai di setiap majlis mahupun ketika bersantai menyebabkan ramai membandingkan dirinya dengan mendiang ibu William, Puteri Diana. Sebab itu tidak mustahil Kate bukan saja bakal menjadi isteri William tapi juga puteri yang disanjung rakyat.


Pengarang majalah Vogue, Alexandra Shulman percaya Kate tidak berdepan masalah untuk menurut jejak Diana sebagai ikon fesyen dunia.


“Kate adalah versi kontemporari Diana. Beliau memiliki gaya sama seperti Diana dan pasti akan menjadi lebih glamor,” katanya.


Persamaan tidak terhenti setakat itu saja kerana seperti Diana yang meminati Putera Charles sejak kecil, Kate turut menampal poster William di kamar di sekolahnya, Kolej Marlborough.


Kedua-duanya juga lebih suka menghabiskan masa bersukan dan berski daripada melepak di kelab malam.


Namun, ada juga yang berasa Kate lebih yakin dengan fesyen yang ingin dipakainya berbanding Diana.


Pereka baju pengantin yang dipakai Diana, David Emanuel, 57, menganggap Kate memiliki kecantikan semula jadi.

“Beliau tidak memakai mekap tebal dan rambutnya juga sentiasa bersinar. Kate kerap mendedahkan kakinya kerana ia adalah asetnya. Kate juga mudah bergaya dalam apa jua jenis pakaian kerana beliau gadis tinggi.


“Malah, beliau seolah-olah dilahirkan dalam keluarga kerabat kerana tidak pernah sekalipun beliau kelihatan selekeh atau ada pakaian dipakainya kelihatan tidak sesuai dengan dirinya.


“Lebih daripada itu, Kate lebih berpengalaman berbanding Diana yang hidup terkongkong di dalam istana. Beliau berasal daripada keluarga hartawan dan kelihatan yakin dengan dirinya sendiri,” katanya.


Seorang lagi pereka, Bruce Oldfield, bertemu Diana buat pertama kali pada malam menjelang majlis perkahwinannya dengan Charles.


“Beliau tidak tahu apa yang bakal dihadapinya. Beliau tidak tahu bergaya berbanding dengan Kate pada masa ini,” katanya.


Bagi Rumah Windsor, ketrampilan dan gaya hidup Kate yang stabil memberi jaminan beliau tidak akan memburukkan kredibiliti keluarga kerabat England.


Seperti Diana, Kate turut menerima nasihat untuk mencantikkan dirinya. Jika Diana dinasihat kakitangan Vogue, Anna Harvey, Kate pula menerima nasihat pakar kecantikan, Leesa Whisker yang didakwa bertanggungjawab membantu beliau memilih pakaiannya.


Yang pasti, tiada siapa sangsi Kate mampu menjadi idola fesyen dunia andai beliau mengahwini kekasihnya. Pada sambutan hari jadinya yang ke-25, tindakan Kate memakai baju keluaran Topshop yang hanya bernilai £40 (RM218) menyebabkan ia habis dijual pada keesokan harinya.


Sebagai calon Ratu England, Kate aset besar industri fesyen Britain andai beliau menuruti tradisi beli barangan keluaran tempatan yang diamal wanita keturunan raja tempatan.


Pengarah fesyen disegani, Hilary Alexander berharap Kate bakal menjadi duta fesyen tempatan sebaik saja pertunangannya diumum.


“Pastinya menarik jika Kate memilih memakai pakaian dihasil pereka muda seperti Richard Nicoll, Jonathan Saunders atau Christopher Kane. Dengan latar belakangnya yang menarik, beliau mampu meningkatkan populariti fesyen Britain ke seluruh dunia,” katanya.


Apapun, Kate kelihatan lebih yakin kerana hidupnya sering menjadi tumpuan manakala keluarga kerabat pula sering menghubunginya, mengelak beliau berasa terpinggir seperti Diana.


Di majlis keraian, beliau sentiasa ditemani sama ada keluarga kerabat atau penasihat William.


Contohnya, ketika menyaksikan penabalan William sebagai Knight of the Garter ke-1,000 di Gereja St George, beliau diiring Putera Harry manakala di majlis tamat latihan di Sandhurst, Kate ditemani pula Setiausaha Sulit William, Jamie Lowther-Pinkerton dan makcik William, Lady Sarah McCorquodale menemai Kate pula di majlis menerima sayap di RAF Cranwell.


Situasi itu berbeza berbanding Diana yang sebelum bertunang dirakam bersendirian di depan Hotel Ritz, London pada 1980 ketika menghadiri majlis hari jadi ke-50 Puteri Margaret.


Tindakan mengharamkan jurugambar bebas merakam gambar di estet diraja di Sandringham dilihat sebagai persiapan pertunangan Kate dan William.


Buat masa ini, beliau kelihatan bebas merancang apa jua yang ingin dilakukannya tanpa diiringi polis mahupun mendapat kelulusan daripada Pejabat Luar Negara.


Bagaimanapun, hakikatnya pihak istana berusaha memastikan Kate tidak berasa dirinya hidup dalam sangkar kaca sebaik saja bergelar kerabat diraja Britain.


Sukar untuk menurut jejak Diana yang menjadi pujaan masyarakat Britain tapi jika ada yang mampu melakukannya, Kate adalah orangnya.

PETIKAN METRO AHAD-24.01.2010

Hope kate jugak seprrti PUTERI DIANA seorang puteri yang berjiwa rakyat. Time dia meninggal tempoh hari , ila dalam tahun 5.Budak kecik lagi. Tapi kita suka dia, minat dia. Wajahnya cantik, lembut je.

No comments:

Post a Comment